29 September 2009

PMR DAN SPM DATANG LAGI.......

PMR DAN SPM datang lagi mengundang hati gundah gulana mengenangkan persediaan tidak rapi, impian yang entah kesampaian dan bermacam perasaan lagi bercampur baur. Terkadang dalam hidup ini apa yang kita inginkan tidak selalu sejalan dengan apa yang kita lalui. Sering juga harapan dan impian tak seindah kenyataan. Manusia hanya boleh merancang tetapi segalanya adalah ketentuanNya.
Sebagai hamba kita perlu terus memusatkan seluruh usaha dan tenaga kita pada proses bukan hasil kerana hasil adalah takdir ketentuanNya. Kerap menjadi masalah kerana kita selalu memikirkan hasil yang tidak pasti lagi. Justeru itu anak-anak berusahalah dengan sebaik-baiknya, sekuat-kuatnya dengan segala yang kita ada iaitu tindakan, pemikiran, keringat, air mata serta waktu dan kesempatanyang masih ada.
INGAT! hujung usaha adalah TAKDIR. Jika anda berusaha bersungguh-sungguh maka Allah pasti akan lebih bersungguh untuk melaksanakan impian dan cita-cita anda. Yakini itu.
Tetaplah berjuang menjadi lebih baik dari diri sendiri setiap hari meskipun 1% sehari kerana dalam 100 hari anda menjadi lebih 100% lebih baik dari diri anda sekarang ini. Itulah kemenangan sejati.
Yang penting Yakinlah pada Pertolongan ALLAH.

KEM PENGHAYATAN RAMADHAN

11 DAN 12 SEPTEMBER 2009 telah diadakan Kem Penghayatan Ramadhan untuk memantapkan amalan 10 malam terakhir Ramadhan kali ini. Sasaran program ini adalah untuk pelajar tingkatan 4. Antara pengisiannya ialah berbuka bersama, solat tarawih, muhasabah diri, Qiamulail, tadarus dan LDK. Kem ini dikendalikan oleh In Person Trainning yang diketuai oleh En Sharimi. Diharapkan pelajar dapat mengimarahkan bulan Ramadhan ini sebagai jambatan untuk menjana kecemerlangan diri untuk dunia dan akhirat.

03 September 2009

MENJANA PELAJAR CEMERLANG

Anak-anak, sekali lagi umi mengaitkan kejayaan cemerlang dalam SPM 2008 (19A1 dan 1A2) Nik Nur Madihah yang membuka mata kita semua bahawa material bukanlah motivasi utama untuk pelajar memperolehi kejayaan akademik. Motivasi di dalam pembelajaran adalah salah satu daripada aspek yang cukup penting untuk mendorong seseorang pelajar berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mencapai akademik cemerlang. Motivasi dapat didefinisikan sebagai pendorong yang wujud dalam diri manusia yang juga akan mempengaruhi cara seseorang bertindak.
Motivasi juga dapat diertikan sebagai kekuatan dari dalam diri individu yang mendorong untuk membuat sesuatu perkara. Dari sudut psikologi, motivasi adalah satu proses yang kompleks yang melibatkan keadaan dalaman manusia iaitu naluri dan rangsangan serta luaran individu iaitu perlakuan dan tindakan.
Kajian dari penyelidik Universiti Malaya(UM), kecemerlangan akademik dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti mendapat perhatian ibubapa, guru, sifat kendiri yang tinggi dan bermotivasi tinggi untuk berjaya. Faktor disiplin diri, suasana pembelajaran yang kondusif, pengurusan masa yang baik dan kekerapan mengulangkaji juga faktor penyumbang kepada kejayaan cemerlang.
Dari sudut pandangan Islam, punca utama seseorang itu bermotivasi tinggi bukan sahaja dari mental dan fizikal yang sihat tetapi bergantung pada ketenangan hati.
Firman Allah "Dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya dengan sebab berdusta (Al Baqarah:10). Hati sebegini bukan sahaja menyebabkan pelajar tidak fokus pada pelajaran malah sangat mudah terpengaruh dengan budaya negatif.
Menurut Imam Al Ghazali sebelum seseorang pelajar menuntut ilmu dia mestilah membersihkan hatinya dulu. Ini kerana ilmu itu tempatnya di hati. Seseorang pelajar yang rajin mungkin boleh mencapai kejayaan tetapi tidak dapat menuai faedah yang terhasil daripada ilmu itu. Punca hati tidak sihat kerana kita tidak menunaikan perintahnya yang menjadikan hati keras dan sukar menerima teguran dan nasihat. Allah berfirman " Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya (dengan taat dan beramal soleh) Dan dia mengingati nama tuhannya lalu dia bersembahyang." (Al-A'laa:14-15)
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengimarahkan Ramadhan dengan mempertingkatkan amalan. Moga kita akan dapat ketenangan hati yang akan mendorong motivasi kecemerlangan diri dari pelbagai aspek. Yakinlah dengan pertolongan Allah.