10 Oktober 2012

MENJANA MINDA POSITIF ...UNTUK BERJAYA


Bagaimana untuk mengubah persepsi negatif yang bersarang di dalam minda ke persepsi positif dan bagaimana untuk melatih diri kita supaya sentiasa melihat pada nilai-nilai positif bermula hari ini.

"Untuk mengubah persepsi dari terus terdorong untuk memikirkan yang negatif supaya sentiasa menjadi positif…erm mcm mana tu?” dari soalan ini, timbul idea untuk menjawapnya, lalu saya kongsikan di sini bersama Anda.

Ada banyak cara, tapi saya akan kongsikan 5 tips yang boleh membantu Anda...=)

1. Bila bangun pagi, puji 3 orang yang kita kagumi setiap hari.
Ambil idola yang menjadi pujaan hati kita, sesiapa sahaja janji Anda kagum dengan pencapaianny. Puji dengan ikhlas, seikhlas yang mungkin. Biar rasa kagum tu meresap ke dalam hati.

Pada peringkat permulaan, agak payah sikit, bila buat setiap hari, ia akan jadi kebiasaan dan membuat kita bersemangat di awal pagi. Tarik nafas dalam kiraan 7 saat, tahan dalam kiraan 7 saat, kemudian hembus perlahan-lahan dan kiraan tujuh saat. Buat 3 atau 4 kali.

2. Masa mandi, sewaktu air tersiram ke badan, panjatkan rasa syukur atas segala nikmat dan rahmat yang dilimpahkan ke dalam hidup kita, yang nampak dan yang tak nampak.

Ucapkan syukur sewaktu sarapan pagi dan ketika mula buat kerja hingga sebelum nak tidur, atas segala nikmat lalu dan yang akan datang. Misalnya, sebut “Thank you Allah, for all that I have and for all that i’ve received”.

Sebab, semakin kita bersyukur dengan ikhlas, semakin ditambahkan nikmat dalam hidup kita, lalu semakin positif kita jadinya dan segala urusan dipermudahkanm, masalah diringankan.

3. Bila melihat orang lain, mendengar berita, atau terlihat situasi-situasi lain, kawal kata-kata dalam hati dan yang terlintas di dalam minda. Latih diri untuk memandang pada aspek-apek positif yang wujud.

‘Paksa’ minda untuk melihat pada nilai yang baik-baik. Latih diri dan latih minda, di samping mengawal setiap kata-kata yang ada di dalam hati.

Seperti latihan lain, ia perlukan disiplin. Bila selalu lakukannya, ia akan jadi kebiasaan.

Bila dah jadi kebiasaan, Anda akan dapat menjana fikiran positif dan terdorong memandang yang positif saja. Tak percaya? Cubalah!

4. Buat keputusan muktamad untuk menjadi orang yang berfikiran positif. Jauhkan diri dari mendengar kata-kata umpatan, caci maki, geram, marah, tak puas hati, menyampah, menghina dan yang serupa, sebab bila layan semua ni, ia akan masuk ke dalam minda.

Caranya nak elak ia masuk, beristighfar sebanyak mungkin sehingga rasa insaf tu meresap jauh ke dalam diri Anda. Bila rasa Anda tak bersemangat, fikirkan orang lain yang lebih susah dari Anda serta yang lebih parah hidupnya dari Anda, serta merta akan terbit rasa syukur kerana hidup Anda sekarang lebih baik daripada mereka. Kesannya, Anda akan bermotivasi.

5. Selalu bersangka baik pada semua orang, semua keadaan situasi, perkara, benda dan apa saja. Bersangka baik, akan dibalas baik dan saya percaya, Anda akan ditemukan dengn situasi yang baik-baik, orang yang baik-baik dan benda yang baik-baik kesan daripada itu.

Kalau asyik bersangka buruk dan memberi respon buruk di hati Anda, Anda akan ditemukan dengan situasi-situasi yang buruk juga. Tak ada siapa yang nak dirinya asyik ditimpa situasi buruk. Ubah mindset dan kemudian Anda boleh ubah hidup Anda.

Semua ini ibaratkan seperti menanam benih dalam minda, sirami dengan fikiran yang baik-baik dan hasilnya, sudah tentu hati yang baik, attitude yang baik.

Ingat, Law of Attraction menyatakan, jika kita selalu berfikir tentang perkara2 kejayaan, kejayaan akan menghampiri kita. Semakin kita berkehendakkan sesuatu semakin ia menghampiri kita. Minda positif akan bekerja untuk kita mencapai kemenangan

Diharap tips2 yang diberikan dapat membantu Anda menjalani kehidupan dengan lebih berjaya.

PERSEDIAAN IBUBAPA MENJELANG PEPERIKSAAN


Menjelang tibanya hari peperiksaan biasanya anak-anak akan menghadapi tekanan dari pelbagai drama kehidupan. Anak-anak biasanya akan mengalami perubahan dan sangat perlukan sokongan terutamanya ibubapa.


Tanda-tanda tekanan :

1. Kebimbangan Melampau -Ada perubahan dalam tingkahlaku anak
2. Runsing-Anak tidak selera atau terlalu selera makan. Tidak boleh tidur atau terlalu kuat tidur. Murung, marah dan sensitif.

Bagaimana ibu bapa boleh membantu ? Antaranya.....
 

1. Peka kepada perubahan anak-anak.
2. Katakan harapan dengan jelas yang anda mahukan yang terbaik mengikut kemampuan mereka.
3. Diamkan diri anda apabila mereka terlalu tertekan. Elakkan dari meninggikan suara atau marah.
4. Ajak mereka melakukan aktiviti yang dapat menenangkan diri.
5. Tanamkan keyakinan dalam diri mereka.
6. Berasama-sama merancang dalam mengurus masa mereka.
7. Mengawal pergerakkan keluarga (balik kampung, dll) terutama yang melibatkan anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan supaya persiapan mereka tidak terganggu.
8. Sentiasa mengambil bahagian aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. (Solat Hajat, Hari Terbuka)
9. Sentiasa mrngikuti perkembangan aktiviti yang derlaku di sekolah. (Ujian, Peperiksaan percubaan)
10. Memantau kesihatan anak.
11. Sentiasa menghubungi guru-guru anak-anak untuk mengetahui perkembangan terkini anak-anak.
12. Mewujudkan suasana yang tenang di rumah. (kawal penggunaan tv, internet mengikut kesesuaian)
13. Seluruh anggota kelurga di rumah maklum tentang adanya anggota keluarga akan menghadapi peperiksaan pada tahun itu.
14. Anggota kelurga maklum akan tarikh peperisksaan di jalankan.

01 Oktober 2012

Persediaan Akhir Menghadapi peperiksaan


Salam perjuangan buat semua anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM
Semoga terus bersemangat untuk mencapai kecemerlangan. Sebagai persediaan akhir, anak-anak perlulah :-

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.