07 Januari 2012

tahun baru , azam baru :)

Selamat Tahun Baru! Tahun ini genap 1433 tahun dikira dari tarikh Nabi Muhammad berhijrah dari Makkah ke Madinah bersama sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq. Peristiwa besar itu adalah perintah Allah, bukan tindakan saja-saja Rasulullah.

Hijrah adalah hijrah. Simboliknya, ia adalah proses berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Hakikatnya, ia adalah pergerakan manusia secara spiritual, mental dan fizikal daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain. Keadaan baru itu pula relatifnya lebih baik daripada yang baru.

Ia bersifat spiritual kerana berasaskan iman dan keyakinan, bukannya tindakan sendiri tetapi naluri yang diilhamkan Allah. Ia punya implikasi mental kerana persiapan cara berfikirnya, psikologinya sebelum dan selepas berhijrah sangat besar. Ia juga berbentuk fizikal kerana melibatkan perjalanan sebenar tubuh badan atau amalan ‘baru’ yang lebih soleh.

Baiklah, satu perkara utama yang tidak boleh kita abaikan apabila melakukan penghijrahan diri ini ialah MUHASABAH. Muhasabah bermaksud menilai semula diri kita selama ini untuk diinsafi dan dibuat penambahbaikan. Ia mesti disertai dengan taubat nasuha iaitu menyedari kesalahan masa lalu, berasa menyesal, memohon keampunan daripada Allah, meminta maaf daripada manusia, berazam menjadi lebih baik serta bertindak melakukan apa yang telah diazamkan.

Perhatikan firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat ke-18 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):

"Orang yang pandai adalah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk waktu setelah kematiannya, sedangkan orang yang lemah adalah orang yang jiwanya selalu tunduk kepada nafsunya dan mengharap pada Allah dengan pelbagai angan-angan"

(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Merenung kembali intipati khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Selangor pada Jumaat lepas, muhasabah seperti yang dijelaskan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah terbahagi kepada dua:

Pertama: Muhasabah sebelum bertindak. Ia akan membantu kita membuat keputusan yang tepat sama ada untuk terus melakukannya atau membatalkannya. Mulakanlah setiap apa yang kita rancangkan untuk tahun baru ini dengan bermuhasabah dahulu sebelum mengerjakannya.

Kedua: Muhasabah setelah bertindak. Ia adalah bedah siasat yang meliputi muhasabah tentang perkara baik yang tidak kita lakukan, perkara buruk yang kita buat, juga tentang kesempurnaan, kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil tindakan kita sepanjang setahun lalu. Semua ini akan menimbulkan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik pada masa hadapan.

Seterusnya, Ibnul Qayyum menyusun kaedah muhasabah diri yang mudah untuk kita amalkan:

Pertama: Muhasabah diri tentang semua kefarduan yang wajib ke atas kita. Jika ada yang masih diabaikan, berazamlah untuk menyempurnakannya.

Kedua: Muhasabah diri terhadap maksiat dan dosa yang kita lakukan. Jika kita masih melakukannya, bertaubat dan beristighfarlah serta perbaiki diri.

Ketiga: Muhasabah diri terhadap kelalaian dan kealpaan. Dekatkanlah diri kepada Allah dengan solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, berzikir dan membaca al-Quran.

Keempat: Muhasbah pada seluruh anggota tubuh badan seperti kaki, tangan, mata, telinga, lidah dan lain-lain. Jika kita masih menggunakannya untuk perkara-perkara tidak berfaedah serta maksiat, kemballah ke pangkal jalan dengan penuh kesyukuran dan ketaatan.

Ringkasnya, hijrah diri disimpulkan oleh hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abdullah bin Amru ini (maksudnya):

"Sesungguhnya orang yang benar-benar berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan perkara yang ditegah oleh Allah subhanahu wataala.”

Demikianlah serba sedikit peringatan tahun baru untuk kita renungi dan perbaiki bersama. Yang indahnya, tidak seperti sambutan tahun baru masihi, maal hijrah tidak pula dicemari dengan acara-acara maksiat yang memalukan. Kenapa ya?

Ia sebenarnya membuktikan, jika sesuatu perkara itu tetap dikaitkan dengan Allah dan iman kepada-Nya, manusia serta seluruh alam ini akan menerima kebaikannya. Sebaliknya, jika sesuatu perkara itu tidak diasaskan kepada keyakinan kepada Allah, dosa pahala dan balasan hari akhirat, nescaya seluruh alam akan rosak binasa.

1 ulasan:

  1. mulakan tahun baru anda dengan semangat yang baru... Selamat Maju Jaya :)

    BalasPadam