08 Februari 2010

Menggapai Impian .....satu kepastian

Puteri-puteriku kejayaan itu bukan mudah untuk dicapai. Siapa pun yang ingin berjaya, dia perlu mengejar impian itu. Ya..mengejar, bukan sekadar bersenang-senang. Gaya orang berjaya berjalan pun lain. Langkahnya cepat, macam dikejar sesuatu. Bayang-bayang kejayaan sentiasa menghambat kerana dia ada matlamat. Orang yang berjaya sentiasa mengejar masa, kerjanya tidak bertangguh, tidak banyak alasan tetapi banyak tindakan.
Kalau diikutkan memang susah untuk berjaya tetapi lorong ini telah dilalui oleh ribuan malah puluhan pelajar yang telah berjaya sebelum ini. Justeru itu anak-anak perlu ada perancangan. beri keutamaan kepada kerja-kerja yang lebih penting seperti membuat kerja sekolah, solat, puasa dan berdoa misalnya. Lambatkan sedikit kerja-kerja seperti berbual, melepak. Kita perlu belajar dari pengalaman orang lain dan dijadikan panduan untuk diri kita.
Lebih banyak usaha yang kita lakukan untuk mengejar perasaan ini, lebih tinggi kebahagiaan yang kita bakal kecapi.
Cuba kita tanya kepada orang yang berjaya di sekeliling kita "Bilakah saat anda paling gembira dalam hidup anda ?"
Jawapan yang kita akan terima adalah mengenai kesusahan masa lepas yang pernah dilalui, Jatuh bangun untuk mencapai erti sebuah kejayaan yang sungguh membawa makna.
Jangan patah semangat atau sedih dengan prestasi kita sekarang. Kita teruskan usaha kita. Lebih banyak usaha dan pengorbanan kita, lebih bahagia kita mengenangkan saat ini.
Satu hari nanti, bila keputusan PMR/SPM keluar kita akan dapat rasakan segala kesusahan terbalas dengan impian cemerlang yang dapat digapai.
Hargai saat ini. Berusaha lebih keras untuk kebahagiaan lebih besar....TEKAD GAPAI IMPIAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan