14 Mac 2010

Taklimat Haluan Selepas SPM 2009

12 Mac 2010 - Tahniah kepada semua pelajar kerana telah berjaya cemerlang dalam SPM 2009. Anak-anak telah mendapat pulangan hasil dari usaha keras masing-masing. Bagi anak-anak yang ambil perakaunan boleh mohon sijil LCCI dari borang yang Cikgu Liza bagi. Bagi yang buat permohonan ke IPTA, pastikan anak-anak memilih kursus yang sesuai dengan pencapaian anak-anak. Bagi yang berminat ke tingkatan 6 sekolah agama berasrama penuh boleh dapatkan borang permohonan daripada Ummi.

09 Mac 2010

Disebalik Kesakitan ada hikmah tersulam....

Anak-anak, kali ini Ummi ingin menyentuh persoalan sakit. Kesakitan adalah sesuatu yang selalu tidak disukai apabila ia datang pada kita. Kita mungkin akan bertanya kenapa aku yang ditimpa musibah ini kenapa bukan orang lain. Ummi sendiri mengalami pelbagai rasa yang Tuhan sahaja mengetahuinya. Memang payah untuk kita menerima sesuatu perkara yang buruk yang menimpa diri kita. Ingat jangan sampai kita menyalahkan takdir dan Allah yang Maha Mengetahui hikmah disebalik sesuatu kejadian. Sebaliknya dalam apa juga kegetiran marilah kita sama-sama muhasabah diri. Selamilah hikmah disebalik setiap kejadian.

Dalam surah Al Baqarah ayat 286, "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa juga yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Surah Yusof:12, "...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum kafir"

Surah Al Baqarah :216, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"

Anak-anak, teman penguat semangat ummi adalah dengan berpegang dan yakin dengan janji Allah s.w.t. Ummi percaya setiap kesakitan yang Ummi rasai ada kesenangan disebaliknya. Walau dibanjiri dengan air mata, perjuangan hidup perlu diteruskan. Walau bagaimana perit kesakitan yang dialami ia bukan penghalang untuk kita berjaya dalam hidup..... hidupkan semangat waja dalam usaha mengejar impian. Berusahalah dengan seikhlas yang mungkin tanpa mengharapkan balasan semata-mata kerana semakin tinggi keikhlasan semakin tinggi balasan baik yang akan kita perolehi. Sentiasa berkasih sayang, kuatkan ukhwah dan saling mengingati ..... InsyaAllah

Program Bina Insan







Pada 5 dan 6 Mac 2010, unit sahsiah dengan kerjasama unit BADAR dan Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan program Bina Insan bagi memberi kesedaran kepada pelajar bahawa kecemerlangan sahsiah adalah asas dalam mengejar kecemerlangan diri. Program dimulakan dengan ceramah "Muslimah Harapan Bonda" yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling yang memfokuskan tentang perkembangan remaja. Zaman remaja yang penuh dengan storm dan stres perlu dikendalikan dengan sebaiknya. Seorang remaja sering mengalami gangguan emosi. Hasilnya mereka memberontak, melanggar peraturan sekolah, menderhaka pada ibu bapa disebabkan desakan inginkan kebebasan dan mencari kedamaian di luar kotak kongkongan.
Remaja juga ketika ini mengalami emosi romantik. Mereka kerap menggambarkan watak pujaan yang ideal. Keadaan ini mendorong remaja untuk menulis pengkongsian kisah dan perasaannya dalam dairi dalam bentuk anganan ataupun ciptaannya sendiri. Apa yang ditakuti muncul pula personaliti lain jantina dalam hidupnya sehingga terbuai dalam mimpi indah dan terbabit dengan 'cinta monyet'. Keadaan ini kalau tidak terkawal akan melangkau ke lembah maksiat. Remaja memerlukan tiga tahun untuk mengukuhkan jatidirinya. Banyak faktor dan sokongan terhadap perkembangan remaja ini perlu dititik beratkan. Sokongan keluarga, pemilihan rakan sebaya dan pemantapan kemahiran sosialisasi antara faktor yang utama dalam menentukan perkembangan alam remaja ini. Anak-anak pelajar diingatkan tentang tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan dalam menetukan hala tuju untuk menjadi muslimah harapan bonda, penyejuk mata dan penenang jiwa.

Program Mercu Kecemerlangan SPM
















5 dan 6 Mac 2010 satu detik bersejarah di mana telah diadakan satu program untuk membina kecemerlangan diri bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 2010. Program dimulakan dengan perkongsian PINTAR bersama X SHARODZ dan diikuti dengan Muhasabah Diri yang dikendalikan oleh My Concernt yang terdiri dari mahasiswa anak-anak Melaka. Program dimantapkan lagi dengan Qiamulail. Program diteruskan lagi dengan Membina matlamat, Motivasi diri dan diikuti dengan program bersama ibu bapa yang dikendalikan oleh Uztaz Sabri dari Perunding Fokus Budi. Program ini diharap dapat mengangkasakan pelajar dan ibu bapa dalam mengejar kecemerlangan sahsiah dan SPM khususnya.

01 Mac 2010

Kem Tahfiz Al Quran As Syarifah

Kem Tahfiz untuk bulan Mac ini akan diadakan pada 6 dan 7 Mac 2010 dan 12 dan 13 Mac 2010. Untuk program kali ini anak-anak pelajar akan menghafal surah As Sajadah dan al Mulk. Tahniah kepada anak-anak yang telah berjaya menghafal surah Yassin dengan jayanya. Bagi yang belum jangan putus asa.
Kata-kata hikmah Arab menegaskan :-
"Tiada sesuatu yang lebih menguatkan ingatan seseorang selain daripada membaca Al Quran dengan melihat (mashaf Al Quran)."
"Orang yang mengamalkan membaca Al Quran pada setiap hari, tidak akan berpenyakit nyanyuk apabila tua malah mata terang terutama apabila membaca Al Quran"
"Orang yang mengamalkan membaca Al Quran akan sentiasa sihat akalnya walaupun dia berumur 200 tahun"

Kesan membaca Al Quran dari segi kesihatan sungguh besar. Semasa membaca Al Quran secara automatiknya kita melakukan senaman muka, leher, kerongkong dan fikiran. Ia juga melatih otak kita kepada konsentrasi fikiran di mana konsentrasi ini amat diperlukan untuk belajar dan mengingat.