09 Mac 2010

Program Bina Insan







Pada 5 dan 6 Mac 2010, unit sahsiah dengan kerjasama unit BADAR dan Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan program Bina Insan bagi memberi kesedaran kepada pelajar bahawa kecemerlangan sahsiah adalah asas dalam mengejar kecemerlangan diri. Program dimulakan dengan ceramah "Muslimah Harapan Bonda" yang dikendalikan oleh Unit Bimbingan Dan Kaunseling yang memfokuskan tentang perkembangan remaja. Zaman remaja yang penuh dengan storm dan stres perlu dikendalikan dengan sebaiknya. Seorang remaja sering mengalami gangguan emosi. Hasilnya mereka memberontak, melanggar peraturan sekolah, menderhaka pada ibu bapa disebabkan desakan inginkan kebebasan dan mencari kedamaian di luar kotak kongkongan.
Remaja juga ketika ini mengalami emosi romantik. Mereka kerap menggambarkan watak pujaan yang ideal. Keadaan ini mendorong remaja untuk menulis pengkongsian kisah dan perasaannya dalam dairi dalam bentuk anganan ataupun ciptaannya sendiri. Apa yang ditakuti muncul pula personaliti lain jantina dalam hidupnya sehingga terbuai dalam mimpi indah dan terbabit dengan 'cinta monyet'. Keadaan ini kalau tidak terkawal akan melangkau ke lembah maksiat. Remaja memerlukan tiga tahun untuk mengukuhkan jatidirinya. Banyak faktor dan sokongan terhadap perkembangan remaja ini perlu dititik beratkan. Sokongan keluarga, pemilihan rakan sebaya dan pemantapan kemahiran sosialisasi antara faktor yang utama dalam menentukan perkembangan alam remaja ini. Anak-anak pelajar diingatkan tentang tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan dalam menetukan hala tuju untuk menjadi muslimah harapan bonda, penyejuk mata dan penenang jiwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan