18 Oktober 2011

KERJAYA SEBAGAI GURU



GURU: MINAT FAKTOR PENTING

PROFESION perguruan cukup diberi perhatian oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.

Maka tidak hairanlah begitu banyak maktab-maktab perguruan didirikan.

Kini wujud pula sebuah universiti perguruan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

Di peringkat universiti, banyak kursus yang berkaitan bidang perguruan ditawarkan.

Malah kementerian merancang menambah bilangan guru berpendidikan diploma dan ijazah.

Dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan, kementerian membuka peluang kepada guru-guru yang memiliki sijil dan diploma melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi bertujuan meningkatkan tahap akademik mereka.

Ini selaras dengan usaha kementerian untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu serantau yang pastinya memerlukan tenaga pengajar di sekolah yang berkaliber.

Kerjaya sebagai guru membuka peluang yang begitu luas. Semakin meningkat jumlah penduduk maka semakin banyak guru diperlukan - tidak kira di bandar raya, bandar mahupun di luar bandar.

Lulusan institut pengajian di bidang ini tidak perlu bimbang kerana lepasan sijil, diploma dan ijazah pertama pasti dilamar oleh kementerian selepas menamatkan pengajian.

Terdapat juga guru-guru yang ditawarkan untuk berkhidmat di sekolah-sekolah swasta.

Berhubung soal pendapatan, seseorang guru akan ditawarkan gaji dan elaun berdasarkan kelulusan mereka sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah.

Seperti profesion lain, seorang guru dalam tugasan seharian harus berpegang kepada etika dan tata susila profesion perguruan supaya tidak lari daripada matlamat murninya.

Mereka juga harus minat terhadap profesionnya serta mata pelajaran yang diajar.


Ciri-ciri peribadi yang diperlukan

1. Meminati profesion ini.

  1. Mempunyai pengetahuan di dalam bidang yang diajar.
  2. Sanggup mendidik dan menunjuk ajar murid-murid
  3. Bersifat sabar
  4. Berkeperibadian mulia
  5. Mampu menghadapi cabaran dunia pendidikan
  6. Sanggup bekerja tanpa mengira tempat sama ada di bandar atau luar bandar

Syarat menceburi bidang ini

Individu harus menamatkan pengajian dan memiliki sama ada sijil, diploma atau ijazah perguruan dalam sebarang disiplin pengajian di sekolah.


Tempat melanjutkan pengajian

Maktab-maktab perguruan atau universiti tempatan dan luar negara. Universiti tempatan yang menawarkan kursus perguruan di peringkat ijazah sarjana muda ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UPSI.


Syarat yang diperlukan

1. Peringkat sijil dan diploma: Pelajar harus lulus dengan baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta kepujian bahasa Melayu.

  1. Peringkat ijazah sarjana muda: Terdapat beberapa cara untuk mengikuti kursus perguruan di peringkat ijazah sarjana muda:

Cara pertama: Pelajar perlu mendapat kelulusan yang baik di peringkat SPM untuk dipilih masuk ke program matrikulasi atau asasi. Selepas menamatkan pengajian di peringkat ini, pelajar akan ditawarkan ke peringkat ijazah pertama.

Cara kedua: Mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan STPM. Calon akan ditawarkan terus ke peringkat ijazah pertama mengikut bidang yang diminati.

Cara ketiga: Memiliki sijil atau diploma serta telah mengajar beberapa tahun juga berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama sesuai dengan mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Cara keempat: Bagi pemegang ijazah sarjana muda yang berminat menjadi guru tetapi tidak mempunyai asas dalam kaedah mengajar, mereka juga boleh berbuat demikian dengan syarat perlu memohon untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di universiti-universiti atau kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di maktab-maktab perguruan untuk tempoh setahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan