17 Oktober 2011

REMAJA ASET NEGARA



“Remaja hari ini adalah pemimpin hari esok.”, “ Pemuda harapan bangsa”, “Remaja tunggak Negara” Itulah beberapa ungkapan yang biasa kita dengar apabila bercakap dengan remaja. Ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para remaja, baik yang lelaki maupun perempuan.. Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa suatu hari nanti dan merekalah yang akan mengambil alih pucuk kepimpinan negara , negeri, daerah, kawasan, tempat kerja atau pun setidak-tidaknya sebagai ketua keluarga apabila sudah berumah tangga nanti.. Nabi pernah bersabda yang bermaksud:

” Setiap daripada kamu adalah pemimpin.yang bertanggungjawab terhadap mereka yang di bawah jagaannya. Pemimpin negara bertanggungjawab ke atas rakyat di bawah pemerintahannya; seorang lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami serta anak-anaknya; seorang hamba bertanggungjawab terhadap harta tuannya; kamu semua adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas mereka yang dalam jagaan kamu.”

( Hadis Sahih Bukhari )

Tiada siapa dalam dunia ini yang boleh lari daripada tanggungjawab masing-masing. Sebagai pelajar , maka menjadi tanggungjawab mereka untuk belajar. Sebagai anak mereka juga ada tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa. Sebagai abang, kakak, adik., rakan , jiran dan berbagai-bagai lagi tanggungjawab yang boleh dipikul oleh seorang remaja.

Peranan Remaja

Remaja memainkan peranan penting dalam menentukan maju atau mundurnya suatu bangsa. Malah remaja menjadi tunggak harapan negara. Remaja juga disebut sebagai generasi penerus yang berperanan penting dalam perjuangan bangsa dan negara. Zaman remaja adalah masa muda dalam kehidupan yang penuh dengan tenaga, harapan dan semangat. Adalah penting agar golongan remaja ini diberi didikan dan pengetahuan yang jelas supaya jangan sampai tenaga yang penuh energetik itu disalahgunakan, sehingga timbul berbagai-bagai masalah yang tidak diinginkan samada kepada masyarakat atau pun dirinya sendiri.

Pemuda adalah barisan pemimpin pelapis negara yang akan mencorakkan lanskap negara masa depan. Jikalau rosak akhlak remaja hari ini, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri dari mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral. Disebabkan inilah remaja hari ini mesti diberi bimbingan dan didikan serta pengetahuan yang cukup sebagai persediaan membina barisan pelapis pemimpin negara yang berwibawa.

Persediaan awal ke atas remaja mestilah memfokuskan kepada 3 peranan remaja yang utama:

1. Remaja sebagai individu
2. Remaja sebagai anak
3. Remaja sebagai ahli masyarakat

1. Remaja sebagai individu

Apa yang dimaksudkan disini ialah tanggungjawab remaja terhadap Rabbnya yakni Allah SWT yang telah menciptanya . Dia hendaklah melihat dirinya sebagai hamba Allah yang kerdil, yang sentiasa mengharapkan petunjuk, pertolongan dan bantuan dariNya. Justeru untuk menjadi remaja yang cemerlang dan berkualiti mereka hendaklah berusaha melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya

2. Remaja sebagai anak

Sebagai seorang anak adalah menjadi kewajipannya mematuhi segala arahan ibu dan bapanya., selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan syariat Allah. Dia harus berusaha menjadi anak yang soleh dengan melakukan kebaikan kepada kedua mereka serta berlemah lembut dengan mereka ketika berbicara. Arahan ini jelas disebut dalam al-Quran surah al-Isra` ayat 23 yang bermaksud :

” Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya swampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ”ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

3. Remaja sebagai ahli masyarakat

Apabila seseorang remaja itu berakhlak mulia , dengan sendirinya dia akan menjadi ahli masyarakat yang baik, berbudi dan perihatin. Dia adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan oleh kerana itu dia harus memainkan peranannya . Jika dia tidak mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat, sekurang-kurangnya dia hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang gejala sosial yang boleh merosakkan masyarakat. Sentiasa bekerjasama dalam perkara kebaikan agar kehidupan lebih cemerlang sebagaimana pepatah mengatakan , ”Bersatu teguh bercerai roboh.”

Remaja berkualiti

Remaja berkualiti adalah remaja yang berdiri atas kakinya sendiri iaitu dia tidak seratus peratus bergantung pada ibubapa atau orang lain. Remaja begini akan bersemangat dalam apa juga yang dilakukan; dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikannya tanpa banyak kerenah. Biasanya remaja yang suka berdikari ini mempunyai personaliti yang menarik iaitu dalam dirinya ada banyak sifat positif yang tertanam atau hidup subur dalam dirinya seperti sifat suka membantu orang lain, berusaha bersungguh-sungguh, menyayangi diri sendiri, ibu bapa, dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri, bersikap prihatin dan peka dengan persekitaran, serta bersih dari perlakuan buruk .

Cara mendidik anak ada diajarkan oleh Allah SWT seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 13 – 19 yang dapat kita simpulkan sebagai berikut :

1. Menanamkan jiwa tauhid.
2. Menghargai dan menghormati orang tua.
3. Memelihara dan memperlakukan orang tua dengan baik.
4. Kejujuran, bahwa tidak ada satupun yang dapat disembunyikan dihadapan Allah SWT.
5. Mendirikan sholat dan ibadah lain.
6. Mengajak kepada perbuatan baik dan mencegah perbuatan munkar.
7. Bersabar.
8. Melarang keangkuhan dan kesombongan dalam pergaulan.
9. Sederhana dalam sikap, berjalan dan berbicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan