10 Oktober 2011

PENGURUSAN DIRI ....SANGAT PENTING DI SAAT GENTING MENGHADAPI PERJUANGAN


Mengurus diri penting jika mahu jadi orang berjaya. Seimbangkan pelbagai aspek dalam pengurusan diri. Jangan menumpu kepada satu-satu aspek kecemerlangan sahaja. Urus diri anda sebelum anda cuba mengurus diri orang lain.

Sekecil-kecil perkara dalam rutin seharian, anda harus urus sendiri. Jika anda mengharapkan orang lain untuk menguruskan diri anda seperti basuh tidaknya pakaian anda, kebersihan diri anda, kewangan anda, makan minum anda, hatta beg sekolah dan kotak pensil anda, anggapkan diri anda sudah mati seperti jenazah yang tidak mampu mengurus dirinya sendiri!

Apa yang hendak diurus?

FIZIKAL DIRI: Keseimbangan Jasad Lahiriah.

Kejadian jasad kita ini bukanlah matlamat kehidupan tetapi kita memerlukan jasad lahiriah untuk mendapatkan kemenangan yang kekal abadi di akhirat. Kalau kita tidak mengurus jasad kita dengan baik, cita-cita kita tidak akan kesampaian. Sebaliknya jika kita berlebih-lebih mengurus jasad lahiriah, kita terlupa perkara yang lebih penting dalam hidup ini iaitu pengisiannya.

Apa aspek fizikal diri yang hendak diurus?

  • Kebersihan Diri: Kebersihan tubuh badan: Kulit, gigi, kuku, anggota sulit.
  • Fungsi Pancaindera: Lahir dan batin - Mata, telinga, lidah, daya sentuh, hidung.
  • Jaga Penampilan Diri: Rambut, solekan, elak tabarruj, aksesori, perkataan, body language.
  • Jaga Pemakanan: Berzat, enak, halal, mengikut waktu, tidak membahayakan dan tidak berlebihan.
  • Istiqamah Riadah: 1/2 jam sehari. Elakkan riadah melampau dan merbahaya.
  • Kebersihan dan Kesesuaian Pakaian: Bersih, wangi, kemas, harmoni, menutup aurat, sesuai dengan fungsinya.
  • Kebersihan dan Keselamatan Tempat Tinggal: Ada rumah, bilik, study table, work station, aliran udara yang baik, bersih daripada najis, perhiasan yang bermanfaat, peralatan yang membantu.
Foto: Solat menggabungkan empat aspek pengurusan diri: FIZIKAL (Kebersihan & Pergerakan Rukun Fikli), Mental (Hafalan bacaan & Rukun Qauli), Emosi (Khusyuk & Ehsan kepada Allah) dan Rohani (Ketaatan & Penabdian).



MENTAL DIRI: Kekuatan Minda (Otak)

Kita hendaklah mengurus mental kita dengan cemerlang. Mental kita terdiri lebih daripada 10 bilion sel yang setiap satu mempunyai keupayaan seperti sebuah komputer kerangka utama (main frame computer) sebesar sebuah bilik. Rugilah hidup kita jika aset terpenting ini kita abaikan.

Bagaimana mengurus minda?
  • Lahirkan otak yang cergas.
  • Elakkan daripada merosakkan otak seperti merokok, mengambil dadah, melihat bahan lucah, melihat najis, melihat benda kaku seperti batu nisan, patung berhala, palang gereja, dll.
  • Timbulkan keyakinan dari kekuatan diri. Apa yang mampu difikirkan oleh otak, mampu dicapai oleh jasad.
  • Tambah pengetahuan. Jika anda pelajar, jadilah pelajar cemerlang.
  • Tingkatkan kemahiran diri.
  • Tambah hobi yang bermanfaat.
  • Tambah keupayaan minda. Berfikir dengan lebih kritikal dan rasional.
  • Luaskan perjalanan dan pengembaraan.
  • Ajarkan ilmu anda kepada orang lain.

EMOSI DIRI: Kekuatan Perasaan.

Kekuatan perasaan datang daripada hati. Hati kecil sentiasa dipimpin oleh Tuhan membenarkan perkara yang baik. Apa-apa yang tidak pasti dalam hidup anda anda tanyalah hati kecil anda. Ini juga dipanggil fitrah. Orang yang menyalahi fitrah membuat perkara yang songsang.


Bagaimana mengurus hati?
  • Jagalah hati dengan sempurna.
  • Berbuatlah baik dengan semua orang.
  • Buang sifat dendam kesumat.
  • Jangan iri hati secara negatif (sakit hati dengan kejayaan dan kelebihan orang lain).
  • Jangan gusar dengan kesenangan dan kekayaan orang lain.
  • Jangan rasa rendah diri dengan kekurangan atau kemiskinan diri dan keluarga.
  • Tingkatkan daya juang.
  • Tahan tekanan. Ingat: Kita hanya tidak berdaya menahan tekanan apabila jasad kita sudah tidak bernyawa.
  • Hadapi kesusahan dan kemiskinan hidup. Kesusahan dan kemiskina hanya sementara. Lihatlah orang yang dahulunya susah sekarang sudah senang.
  • Suburkan sifat berlumba. Berlumbalah dengan diri sendiri, jangan berlumba dengan orang lain. Anda akan sentiasa menang jika berlumba dengan diri sendiri.

ROHANI DIRI: Kekuatan Dalaman.

Kekuatan rohani berbanding kekuatan jasmani seperti seekor burung di dalam sangkar. Jika burung itu kuat, dia boleh terbang membawa sangkar. Rohani kita jika kuat boleh menerobos alam semesta ini tanpa batasan. Orang yang kuat rohani, dunia fizikal ini ringan baginya.

Hari ini kita susah untuk berjumpa dengan orang yang kuat rohani. Tetapi bagaimana anda mahu menafikan kekuatan dan kemenangan para sahabat, para pejuang serta para nabi terdahulu. Kekuatan dan kemenangan mereka menakluk dunia adalah cerita benar.

Tempias kehebatan orang yang kuat rohani yang masih tersisa hingga ke hari ini ialah seperti menangnya Mujahidin di Afghanistan menghalau Rusia keluar daripada tanah air mereka, kekuatan kumpulan-kumpulan tarikat dan sufi membentuk jemaah dan pembangunan di serata dunia dan kejayaan beberapa banyak kumpulan underdog, kecil dan lemah mengalahkan lawannya yang kuat dan dominan.

Bagaimana mengurus kekuatan rohani?
  • Kerjakan solat seolah-olah kita dapat melihat Tuhan. Ingatlah jika kita tidak dapat melihat Tuhan sesungguhnya Tuhan sentiasa melihat kita.
  • Yakin dengan kekuasan Tuhan.
  • Meletakkan pengharapan yang tertinggi kepada Tuhan. Rasa seperti permohonan kita sentiasa didengari dan dimakbulkan Tuhan. Kalau tidak segera mungkin lambat sedikit. Kalau tidak di dunia pasti di akhirat nanti.
  • Letakkan kebergantungan kita hanya dengan Tuhan. Yakin akhirnya Tuhan akan memberi kemenangan kepada kita.
Dipetik dari tulisan Hj Muhammad Zakaria

1 ulasan: